Ada Masalah Hidup Lebih Seronok

Friday, May 29, 2015

Salam.


Ada orang harap hidupnya berjalan tanpa masalah.
Mungkin dia tak sebut dengan perkataan. Tapi segala rungutannya seolah-olah dia mahu hidup senang- lenang tanpa ada masalah.
Orang yang makan gaji akan merungut seribu satu masalah yang dia hadapi. Begitu juga orang yang tak ada kerja, menganggur akan merungut seribu satu masalah yang dia hadapi. Malah orang yang berniaga juga merungut seribu satu masalah yang membebankan perniagaannya.
Jika kita punya kenalan yang ramai yang terdiri daripada berbagai lapisan masyarakat, kecil besar tua muda, berniaga, makan gaji atau duduk saja, semuanya punya masalah masing-masing.
Tidak akan berlaku dalam hidup segalanya berjalan lancar tanpa adanya masalah. Bahkan, bila tak ada masalah, kita akan bergerak tanpa disedari untuk mencari masalah.

Kenapa perlu ada masalah hidup

Sejak saya kanak-kanak sebelum masuk sekolah lagi, saya suka main bolasepak. Bila masuk sekolah rendah, saya sambung kegemaran main bolasepak.
Bila masuk darjah 5 dan darjah 6, saya wakil sekolah untuk pasukan bolasepak. Begitu juga bila naik sekolah menengah, saya terus main bolasepak, wakil sekolah juga ketika di sekolah menengah.
Bila habis sekolah, saya terus main bolasepak dengan team kampung. Bila pergi Perancis, saya teruskan juga aktiviti main bolasepak. Bila balik dari Perancis, masih terus main bolasepak.
Ringkasnya, masa yang dihabiskan sepanjang hidup dari kecil sampai besar, agak ketara juga diperuntukkan untuk main bolasepak. Sebab itu saya sering ambil permainan bolasepak sebagai perumpamaan yang mudah untuk disampaikan.
Bagi anda yang main bolasepak, atau permainan sukan lain, tentu tahu bahawa dalam permainan sukan, apa saja jenis sukan, dipenuhi dengan berbagai masalah.
Tetapi kita tak pernah sebut langsung apa yang dihadapi ketika bermain atau bersukan, sebagai satu masalah.
Apa yang sering kita cerita adalah cabaran dan keseronokan. Malah permainan bolasepak atau apa-apa saja jenis sukan yang kita suka mampu menjadi satu ketagihan.

Main bolasepak sentiasa ada masalah

Antara masalah ketika bermain bolasepak adalah segala kekangan undang-undang yang ada dalam permainan tersebut.
Bukan boleh buat ikut suka hati. Pegang bola sorokkan dalam baju dan bawa lari sampai depan gol lawan.
Selain daripada kekangan undang-undang, pemain lawan tidak ada kerja lain, selain dari menimbulkan masalah pada kita.
Bila kita hentikan saja bola pada kaki, ada saja yang akan datang nak kacau cuba ambil bola.
Kekadang, kalau tak ada pemain lawan yang datangpun, kita biasa juga tertiarap sendiri makan rumput tanpa adanya angin dan ribut.
Dalam keadaan itu, kita tak pernah sebut itu semua sebagai satu masalah. Malah kita sentiasa berusaha untuk mengatasinya dengan berbagai cara.
Itulah keseronokkan yang kita perolehi dalam permainan bolasepak dan juga dalam apa-apa sukan lain.
Setiap masalah adalah satu cabaran yang seronok untuk diselesaikan. Tak boleh hari ni, lain kali akan kita cuba lagi tanpa ada rasa serik.

Main bolasepak tanpa ada masalah

Cuba anda bayangkan ketika bermain bolasepak dengan satu pasukan lawan.
Kesemua kesebelasan pemain lawan hanya berdiri terpacak dan membiarkan saja anda bawa bola dengan apa gaya sekalipun.
Mereka hanya lihat saja samada anda merangkak atau bertongkat, atau mengheret bola dengan kepala dari bawah ke gol lawan.
Dan penjaga gol pula hanya berdiri tak buat apa-apa.
Anda dibiarkan begitu saja menyumbat bola dengan apa saja gaya yang seronok anda lakukan.
Anda menjerit dengan kuat GOOOOOOL sebaik saja bola disumbat masuk ke dalam jaring.
Selepas itu bola di bawa ketengah dan permainan dimulakan semula.
Pihak lawan berikan bola sekali lagi pada anda dan mereka ulang macam tadi juga. Berdiri buat tak tahu untuk biarkan apa saja aksi yang nak anda nak lakukan.
Saya yakin jika anda masih meneruskan permainan itu macam tak ada apa-apa yang berlaku, anda tentu ada sedikit masalah pada jiwa.
Secara normalnya, semua orang yang mengalami permainan bolasepak sedemikian akan berhenti dan timbul pertanyaan kenapa semua buat tak tahu?.
Buat apa teruskan permainan dalam keadaan begitu… tentu itu yang akan anda fikirkan.
Malah sedih mak ooi! kalau orang buat begitu kat kita !
Betul tak?

Ada masalah baru seronok

Itulah perumpamaan jika anda buat sesuatu tanpa ada masalah.
Tidak ada nikmat langsung dalam keadaan sebegitu.
Sekarang cuba fikirkan segala kekangan yang sedang anda hadapi. Tak kisah samada makan gaji, berniaga atau duduk saja.
Anggap saja semua kekangan tersebut adalah sumber untuk menjadikan hidup anda lebih bermakna.
Anda hanya perlu selesaikannya sekadar yang mampu dengan cara terbaik yang boleh.
Jika tewas, jangan putus asa.
Fikirkan kenapa dan buat analisa, cari jalan sampai ianya dapat diselesaikan.
Ingat! segala kekangan, halangan dan seumpamanya yang kelihatan macam sengaja nak bantutkan anda dari maju ke depan itu adalah untuk membuatkan apa saja yang anda lakukan menjadi lebih bermakna.
Sepatutnya, jika anda langsung tak ada masalah, anda wajib bersedih sesedihnya.
Hakikatnya orang yang tak ada masalah adalah orang yang tidak diperdulikan oleh sesiapa… nak ke jadi macam tu?

Sumber : Hidup Ringkas

No comments:

 
FREE BLOGGER TEMPLATE BY DESIGNER BLOGS