Kuasai Ilmu Ekonomi, Fardu Ain Sebelum Kahwin

Tuesday, February 23, 2016






TEMERLOH 17 Feb. – Pasangan muda yang ingin mendirikan rumah tangga seharusnya menguasai asas-asas ilmu ekonomi dan fardu ain sebagai persediaan menempuh cabaran alam perkahwinan.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, penguasaan dalam ilmu ekonomi asas dapat membantu pasangan muda merancang perbelanjaan dan penyimpanan wang selari dengan pendapatan bulanan yang diperoleh.

Kata beliau, kelemahan ketara pasangan remaja khususnya orang Melayu adalah kurang melakukan penyimpanan dalam saham amanah yang diwujudkan kerajaan.


''Hal demikian menyebabkan mereka tidak mendapat manfaat daripada program kerajaan yang menggalakkan dan merangsang rakyat menambah tabungan dalam skim saham amanah,'' katanya ketika merasmikan kursus penutupan program perkahwinan melibatkan 261 peserta di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau dekat sini semalam.


Yang hadir sama pada program anjuran Kelab Sukarelawan 1M4U Parlimen Kuala Krau dengan kerjasama UMNO bahagian itu dan Pejabat Agama Islam Daerah ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Seri Mohamed Jaafar.

Menurut Ismail, penguasaan fardu ain dan kifayah pula merupakan teras pengetahuan agama terhadap diri sendiri selain tanggungjawab kepada keluarga dan masyarakat.

Beliau melahirkan kebimbangan kerana ada dalam kalangan pasangan remaja yang melangsungkan perkahwinan tidak menguasai perkara asas fardu ain.


''Remaja lebih cepat menghafal lirik lagu filem Bollywood berbanding ayat suci al-Quran sedangkan mereka bakal menjadi pemimpin dalam keluarga,'' katanya yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.


Utusan Malaysia




* Eloklah begitu.
* Perlunya ada ADAB walaupun berstatus apa.
* Harus perbanyakkan ilmu sedikit demi sedikit.


No comments:

 
FREE BLOGGER TEMPLATE BY DESIGNER BLOGS