Fresh Flower Online

Bunga Segar


Thursday, March 17, 2016

Suami Isteri Positif Jaminan Kebahagiaan

Assalamualaikum


DALAM hubungan suami isteri, apabila kita sudah duduk sebumbung berkongsi suka duka kehidupan dalam alam perkahwinan, barulah kita akan berhadapan dengan kehidupan yang sebenar. Alangkah sukarnya bagi pasangan suami isteri untuk menerima kenyataan, jika sewaktu dalam alam percintaan (sebelum berkahwin) kita tidak menjadi diri kita yang sebenar, sebaliknya kita hidup penuh kepura-puraan dan banyak yang kita selindungi daripada pasangan kita.

Sebab apabila kita berkahwin, kita sebenarnya akan menemui tiga orang yang berbeza daripada pasangan kita itu (orang yang kita kenali sepanjang percintaan kita). Pertama, orang yang kita sangka siapa dia? Maksudnya banyak antara kita yang terpedaya, menyangka bahawa pasangan kekasih mereka adalah seorang yang baik dan positif. Biasanya nilaian kita ini banyak diukur daripada luaran fizikal pasangan kita itu sahaja, iaitu dari segi cantik/tampan atau tidak pasangan itu, dan diukur dari segi status dirinya, kecerdikan, kekayaan, pangkat dan wang ringgitnya. Banyak antara kita yang tertipu dengan kehebatan luaran fizikal pasangan kita, namun ada juga yang bernasib baik yang mendapat pasangan yang sebagaimana hebatnya luaran fizikalnya, demikian jugalah hebatnya dalaman hati budinya.

Perkahwinan adalah pembuka realiti kehidupan. Selepas kita berkahwin kita akan berjumpa dengan orang baru daripada pasangan kita, yang kita anggap betul-betul telah kita kenali hati budinya sepanjang percintaan kita dengannya. Iaitu, barulah kita tahu siapa dia yang sebenarnya? Kebanyakan kita baru tahu siapa diri pasangan kita yang sebenar, selepas kita dengan pasangan kita telah bergelar suami isteri. Jika selama ini pasangan kita hanya berpura-pura berbuat baik dan bersikap positif untuk memenangi hati kita, tetapi setelah duduk sebumbung sebagai suami isteri, baru kita kenal atau terbuka tembelang hati budinya yang sebenar. Maka, akan bermula konflik hidup dalam alam perkahwinan. Walau bagaimanapun, kalau "dunia dalamannya" baik, maka "dunia luarannya" akan baik untuk selamanya, sama ada ketika sedang bercinta atau sesudah berkahwin.

Seseorang boleh berubah menjadi lebih baik atau lebih buruk selepas sah menjadi suami isteri. Inilah orang ketiga yang kita akan temui, iaitu siapa dia jadi selepas berkahwin dengan kita. Maknanya kita, (suami atau isteri) saling pengaruh mempengaruhi pasangan kita untuk berubah, sama ada daripada bersikap negatif kepada positif atau sebaliknya, bergantung pada sikap "dalaman diri" kita.

Kalau suami atau isteri selepas berkahwin dengan kita berubah laku, maka kitalah yang mengubahnya. Janganlah selepas berkahwin dengan kita, suami/isteri berubah, daripada berperangai baik kepada berperangai buruk. Jika hal ini terjadi bermakna berlaku tiga sebab. Pertama, ketakwaan pasangan kita belum benar-benar kuat. Kedua, "dunia dalaman" pasangan kita yang rapuh, hingga tiada keyakinan untuk mempertahankan prinsip hidupnya dan mudah dipengaruhi oleh pasangan. Ketiga, kesedaran keegoan kita yang sangat tinggi hingga mendesak pasangan kita mengikut cara hidup kita yang salah.

Melengkapkan

Kebanyakan pasangan suami isteri apabila berkahwin, kita hendakkan pasangan kita menjadi seperti kita. Suami akan menunjukkan ketegasannya dan keegoannya supaya isteri mendengar cakapnya dan mengikut cara hidupnya. Isteri pula bertegas dengan prinsipnya, apabila berkahwin mengharapkan "mendapat" kebahagiaan, bukan "membawa" kebahagiaan daripada hasil perkahwinan itu. Hingga menimbulkan konflik antara dirinya dengan keluarga suaminya. Sedangkan hakikatnya, perkahwinan adalah untuk saling lengkap melengkapkan dan sama-sama berkorban serta bersatu untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah dalam rumah tangga.

Jom audit diri kita, sebagai suami atau isteri adakah kita seorang yang membawa kebaikan dan rahmat hidup dalam perkahwinan atau sebaliknya? Kalau kita menyumbangkan peranan negatif dalam perkahwinan, ingatlah bahawa apa-apa yang kita lakukan hari ini pasti ada balasannya. Ayah dan ibu adalah contoh teladan anak-anak; bagaikan acuan dengan kuihnya, bagaimana bentuk acuan, begitulah jadinya kuih. Ingatlah konsep (ADA – BERI – DAPAT).

Kalau anda seorang lelaki, bagaimana anda melayani isteri anda, begitu juga anak perempuan anda akan dilayani oleh suaminya nanti apabila anak perempuan anda dinikahi. Demikian jugalah, bagaimana anda melayani isteri anda, macam itulah anak lelaki anda akan melayani isterinya. Ingatlah, bahaya yang paling besar bukan apa kejahatan yang orang lain lakukan kepada kita, tetapi kejahatan yang pernah kita lakukan, kerana tidak ada perkara baik atau buruk yang kita lakukan, melainkan akan kembali kepada kita.

Kepada para suami, tanyalah diri apakah yang anda telah lakukan kepada isteri anda, seorang anak gadis yang cantik, yang kini telah menjadi amanah dan tanggungjawab anda untuk menjaganya dengan baik dan penuh kasih sayang, seperti mana yang dikecapinya sejak berpuluh tahun hidup bersama-sama ayah dan ibunya. Adakah sebagai suami anda memberikan layanan yang sama atau lebih baik daripada yang ayah dan ibu isteri anda berikan? Adakah tergamak mensia-siakan hidupnya, gadis yang anda cintai, yang kini telah menjadi hak hingga yang haram telah halalkan?

Kepada para isteri pula, apakah yang kita lakukan kepada suami, seorang lelaki yang kita nikahinya kerana rasa cinta dan hormat kepadanya? Adakah kini kita tidak lagi mentaatinya, sedangkan suami itulah penentu syurga kita? Adakah kerana keegoan kita, membuatkan kita menjadi individu yang mempunyai dua keperibadian? Iaitu dengan orang lain di luar rumah kita mempunyai keperibadian yang baik, tetapi di dalam rumah dengan keluarga sendiri keegoan kita tinggi, hingga hilang rasa hormat antara isteri dengan suami, dan sirna rasa bahagia membahagiakan antara suami dengan isteri.

Sebagai seorang lelaki, sebaik-baik sah akad nikah, isteri adalah amanah Allah kepada seorang suami, yang perlu dijaga dan dibimbing oleh suami ke syurga. Isteri di bawah seliaan suami mesti dijaga imannya, takwanya, makan minumnya, kesihatannya, dan seumpamanya. Perlu diingat bahawa, tugas seorang suami bukan sahaja menyediakan keselesaan fizikal, tetapi mesti dipenuhi dada isteri dengan ilmu dan iman, untuk makanan rohaninya. Adakah wajar membiarkan isteri berada dalam kejahilan dan kekosongan rohaniah?

Kewajipan suami untuk membimbing isteri dengan membina kehidupannya hanya taat kepada Allah SWT. Akidah, ibadah dan akhlaknya terjaga. Solat berjemaah dengan isteri bermula saat pertama disahkan sebagai suami. Mohon kepada Allah supaya isteri mematuhi suruhan anda, sebagai suami untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Sesungguhnya, semakin dekat kita dengan Allah, semakin kita tenang dan bahagia. Kita akan memperlihatkan apa-apa yang ada dalam jiwa dan wajah kita. Wajah yang tenang dan bahagia adalah refleksi daripada ketenangan dan kebahagiaan jiwanya. Bahagiakan diri kita dengan berbuat baik dan bermurah hati dengan orang yang terdekat dengan kita dan orang di sekeliling kita.

Berbuat baiklah untuk diri sendiri, berbuat baik kepada keluarga kita, tanpa menangguhkannya. Bimbinglah diri kita dan keluarga kita ke arah kebaikan, semoga kita akan mendapat ketenangan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Para isteri/suami, setiap kali kita berkecil hati, tidak berpuas hati atau sakit hati dengan pasangan kita, mesti ingat pasangan kita juga macam kita, tidak sempurna. Maka kita mula lihat diri dan berasakan ini ujian Allah untuk menguatkan keimanan kita. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Sumber : Utusan


0 Komen:

NOTE: All the credits goes to the orig
Copyright © EnnLaw | Floating Leaves template designed by ennyLaw | eLaw's Design